Di sarawak rumah panjang merupakan rumah tradisi kaum Iban. Rumah panjang mempunyai ciri dan keistimewaan tersendiri dari segi keselamatan dan kebudayaan. Seni bina ini berpegang teguh dengan adat tradisi tempatan suku kaum Iban. Gaya pembinaannya juga tidak dipengaruhi oleh masyarakat luar. Rumah panjang kaum Iban mempunyai struktur dan fungsinya tersendiri. Bahagianbahagian seperti bilek, sadau, dapur, tempuan, ruai dan tanju berfungsi untuk penghuni rumah panjang hidup dengan selesa.
Dalam rumah panjang, bilik dan bahagianbahagiannya adalah milik setiap keluarga dan tanggungjawabnya menjaga serta membersihkannya juga terletak pada keluarga bilik berkenaan. Selain itu, rumah panjang kaum Iban juga mempunyai ciriciri seperti berikut iaitu menggunakan tiang jenis kayu dan tidak mudah reput seperti kayu terbelian yang mudah didapati di Kepulauan Borneo.
Bumbungnya dari daun rumbia seperti Biru, Pantu, Mulong dan jenis daun tebal. Dinding rumah pula diperbuat daripada kulit kayu seperti terentang atau buluh yang dikelar dan dibelah. Lantainya pula menggunakan buluh, papan atau kulit kayu. Manakala tangga rumah pula diperbuat daripada sebatang kayu bulat yang ditaktik dengan beliong dan dipanggil sebagai tangga taktik. Rumah panjang mempunyai tiga ruang iaitu tanju, ruai (ruang terbuka) dan bilik. Pada, bahagian di atas bilik dan ruai pula di panggil sadau (peran) sebagai tempat tidur anak dara disamping tempat menyimpan bijian dan perkakas.
Kajian ini bertujuan untuk melihat seni bina rumah panjang milik kaum Iban di Rumah Tinggang, Saratok. Melalui seni bina rumah ini gambaran jelas menunjukkan kepakaran kaum Iban dalam membina rumah pada masa dahulu. Kajian ini amat menarik untuk dikaji memandangkan rumah panjang ini masih mengekalkan stuktur rumah panjang dan fungsinya juga masih sama walaupun ada sedikit perubahan berbanding rumah panjang dahulu. Selain itu, kajian ini turut bertujuan untuk mengenalpasti struktur rumah panjang di rumah Tinggang. Setiap bilik dalam rumah panjang Iban terbahagi kepada beberapa bahagian utama iaitu bilek, dapur, sadau, tempuan, ruai dan tanju. Bahagian-bahagian ini mempunyai peranan tertentu dalam kehidupan masyarakat Iban.