Wednesday 7 June 2017

10 Info Menarik Tentang Sambutan Hari Gawai Dayak

Perayaan Hari Gawai disambut oleh suku kaum Dayak di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi.

Perayaan ini disambut secara rasmi pada 1 Jun setiap tahun

1. Tujuan Sambutan Hari Gawai

Pada asalnya, Hari Gawai adalah perayaan yang lebih berbentuk keagamaan bagi suku kaum Dayak sebagai tanda berterima kasih kepada “Petara” pada setiap kali selepas musim menuai dan sebelum memulakan penanaman padi untuk musim seterusnya.

Perayaan Gawai Dayak menuntut masyarakatnya menghargai budaya dan memastikan “semangat” padi sentiasa dan terus dihormati.

2. Persediaan Sebelum Hari Gawai

Persediaan awal sebulan sebelum perayaan biasanya menyediakan air tapai yang dikenali sebagai “Tuak”.

Sebelum perayaan juga, kaum wanita akan sibuk bekerjasama membuat kuih tradisional seperti kuih penyaram, kuih sepit, kuih jala, kuih cap dan penganan yang diperbuat daripada tepung beras dan santan kelapa.

3. Pra- Gawai : Pekit Kumang

Di musim perayaan Gawai, banyak pertandingan kecantikan bagi memilih rupawan yang bukan sahaja memiliki rupa paras yang cantik dan menarik malah mempunyai pengetahuan yang luas.
Keindahan busana tradisi mereka terletak pada keaslian tenunan pua kumbu yang disarungkan serta aksesori perak yang bergemerlapan ketika menarikan Tarian Ngajat.

4. Mendirikan Ranyai

“Ranyai” ini diperbuat daripada batang pokok pisang atau batang pokok lain. Ranyai merupakan tanda simbolik untuk perayaan Hari Gawai.

Ranyai akan didirikan ditengah-tengah “ruai” tempat untuk semua penghuni rumah panjang berkumpul.
Pada ‘ranyai’ ini nanti akan disangkut bermacam-macam jenis barang, tidak kisah sama ada beer, botol air tuak, rokok, makanan dan sebagainya.

Barang-barang itu semua akan disangkutkan pada ‘ranyai’ menggunakan tali.

5. Aktiviti Mengelilingi Ranyai
Untuk memulakan upacara, seorang akan dilantik bagi memulakan acara malam menyambut Malam Gawai. Orang yang telah dipilih itu akan menarikan tarian tradisional kaum Iban iaitu Tarian Ngajat.

Dia akan menari mengelilingi ‘ranyai’.

Selepas dia menari mengelilingi ranyai, dia kemudian akan memilih barang yang mana dia mahu dan memotong barang yang disangkutkan menggunakan parang yang digunakan untuk tarian Ngajat.

Kemudian orang tersebut akan mencari sesiapa saja yang dia mahu dan menyerahkan parang yang digunakan kepada orang yang dipilih.

Begitulah proses seterusnya sehinggalah semua barang makanan yang disangkutkan pada ‘ranyai’ itu habis dan orang terakhir akan menebang ‘ranyai’ sebagai simbolik bermulanya Pesta Menuai atau Hari Gawai.

6. Upacara Miring Mohon Berkat “Petara”

Upacara miring akan dilakukan yang menurut kepercayaan daripada golongan tua, bertujuan untuk memberi persembahan kepada Tuhan yang dikenali sebagai Petara, Dewa Dewi Kayangan dan juga dipersembahkan kepada jasad-jasad nenek moyang dikenali sebagai “Petara Aki Ini”.
Ketua Adat akan membaca mantera yang khusus untuk upacara ini dan melumur darah ayam jantan pada bahan persembahan.

Selepas upacara ini, perayaan Gawai Dayak akan bermula secara rasmi.

7. Pakaian Hari Gawai

Ketika perayaan Gawai, setiap suku kaum Dayak lengkap berpakaian tradisional masing-masing dengan motif dan corak yang unik serta menonjolkan lagi kecantikan semulajadi paras rupa mereka.

Anak-anak gadis akan mengenakan perhiasan perak dan gubahan manik yang diwarisi sejak turun-temurun serta memiliki seni estetika yang cukup mengagumkan.

Khazanah yang eksotik ini menjadi kebanggaan bagi setiap suku kaum Dayak kerana ia merupakan peningggalan yang telah diwarisi dari generasi ke generasi.

8. Aktiviti “Ngabang”

Penduduk rumah panjang mula ziarah-menziarahi ataupun dalam dialek tempatan “ngabang” ke rumah kawan-kawan mahupun sanak saudara yang lain sementara anak-anak yang bekerja di bandar akan pulang ke kampung untuk bersama-sama memeriahkan hari yang mengeratkan perpaduan sesama bangsa.

Sesi “ngalu ka temuai” (sesi menyambut tetamu), semua orang boleh “ngabang” (melawat) walaupun tidak mengenali penghuni rumah berkenaan.

9. Tarian Ngajat dan Ngajat Lesong

Tarian Ngajat dan Ngajat Lesong dengan iringan alunan Sape yang dipersembahkan oleh muda mudi masyarakat Dayak menjadikan suasana Hari Gawai begitu meriah dan riuh rendah dengan aksi dan ketangkasan penari yang menghiburkan.

Pelbagai alat muzik tradisional turut dimainkan sepanjang perayaan termasuklah sepasang gong besar, Canang, Gendang, Bebendai, Tawak, Gitar Buluh selain Serunai dan Seruling.

Tarian Datun Julud yang dipersembahkan oleh kaum wanita dari suku kaum Orang Ulu ternyata begitu unik dengan gerak tari yang lemah gemalai.

10. Ngiling Bidai

Majlis Ngiling Bidai (mengulung tikar) seterusnya akan dilakukan yang memberi signifikan perayaan telahpun tamat dan bersedia menempuh tahun baharu dan memulakan penanaman padi di kawasan yang baharu.
Terdapat banyak lagi keunikan dan pelbagai acara serta aktiviti diadakan bagi menyambut Hari Gawai Dayak yang tidak sempat dicatatkan di artikel ini.

Rebutlah peluang sambutan Hari Gawai tahun ini untuk “ngabang” ke rumah sahabat-sahabat yang meraikannya supaya anda dapat merasai sendiri kemeriahan sambutan ini.